Thursday, November 18, 2010

imbasan 1

Tahun:  2002
Tempat :  Padang Arafah

Inilah harinya. 8 Zulhijjah.  Kami akan berangkat ke Padang Arafah untuk wuquf hari ini.  Aku, Pok Bah, Ma dan Abah mertuaku, Mok Su Siti serta Mok cik - bersiap sedia dari awal pagi lagi. Kesemua lima orang rakan-rakan jemaah yang sebilik yang  iaitu Nenek Kedah dan menantunya, Mokku dan adik iparnya, serta Hanisah) pun begitu juga. (Seorang lagi rakan kami Kak Lijah berpindah kebilik lain di tingkat lima untuk bersama kawan-kawan yang datang bersamanya).
  • mandi sunat ihram - hukumnya sunat
  • sembahyang sunat ihram - hukumnya sunat
  • niat - hukumnya wajib
نويث الحج واحرمت به لله تعلي

Dari hotel penginapan di Mekkah - Hotel Jauharat Al Khazraj kami berangkat ke Padang Arafah setelah selesai menunaikan solat Asar (sekitar jam 5 petang).  Setibanya dari Madinah beberapa hari yang lalu, inilah pertama kalinya aku nak travel jauh sikit dan naik bas.  Beberapa hari ini di Mekkah aku berjalan kaki sahaja, kenderaan semula jadi anugerah Ilahi - berulang-alik dari hotel ke Masjidilharam.  Jalan Ajyad itu sajalah yang aku tahu.
Walaupun dalam keadaan kenderaan  yang banyak di jalan tapi perjalanan kami menuju Padang Arafah lancar sahaja. Bertalbiahlah sebanyak-banyaknya..kerana itulah yang dituntut.
لبيك اللهم لبيك لبيك لاشر يك لك لبيك
ان الحمد والنعمة لك والملك لاشريك لك

' Inilah aku ya Allah, Ya Allah inilah aku. Ya Allah inilah aku tidak sekutu sekali-kali bagi Kau, Inilah aku ya Allah, bahawasanya segala puji dan nikmat bagi Engkau dan begitu pula segala kerajaan tidak ada sekutu bagi Engkau'
Terasa diri ini amat kerdil dalam lautan manusia, namu aku bersyukur dan amat berbesar hati kerana Allah telah menjemput aku kesini..akulah antara tetamu Nya. " Ya Allah tengoklah dan pandanglah kepadaku, dengarlah doaku, sesungguhnya Engkau telah memanggil aku ke sini. Ya Allah aku memohon kepada Mu tolonglah aku, aku tak ada daya upaya kalau tidak dengan pertolongan Mu"  Hati menjadi sayu, air mata terus mengalir...
لاحول ولاقوة الابا لله العلي العظيم
"   Tiada daya upaya dan tidak ada kekuatan melainkan dengan izin Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agong"

Aku tiba di Padang Arafah semasa azan maghrib sedang berkumandang.  Di khemah, aku menyemak nama dan mencari tempat yang telah ditetapkan. Alhamdulallah aku mendapat tempat yang baik dan sesuai.  Pada masa itu, penghuni yang lain belum ramai yang tiba, jadi tidak sukar untuk mencari tempat tersebut walaupun keadaan dalam khemah agak gelap kerana tidak berlampu.  Setelah itu aku terus mencari tandas untuk berwuduk dan seterusnya menunaikan solat maghrib.  Alhamdulillah ditempat aku kebetulannya terdapat lubang kecil di atasnya, dari situlah aku mendapat cahaya dari lampu yang tergantung di luar khemah.  Malam itu aku tetap di khemah dan membaca ayat-ayat suci Al Quran serta  berzikir sahaja di dalam khemah .  Aku tidak keluar dari khemah, kerana takut tersesat.

Tidak lama selepas itu, aku terdengar bunyi bising-bising tidak jauh dari tempat dudukku.  Seorang nenek kalut mencari tempat duduknya.  Nenek tu ke tandas seorang diri, bila balik dia tak jumpa pula mencari tempatnya. Aku menghampiri nenek itu, dan katanya, dia meletakkan sehelai kain tuala ditempatnya tetapi dalam keadaan khemah yang agak gelap, aku tak jumpa kain itu. Mak cik-mak cik yang ada disekitar pun sama, tak kenal dan tak jumpa kain nenek tu.

Ah! nenek ni dah salah khemah ni, pantas sahaja kesimpulan yang aku buat. Terus sahaja  nenek itu aku hantar ke khemah urus setia.  Malam itu, berlalu dengan damai sekali...

Setelah solat subuh  keesokkan harinya, aku terlihat seorang petugas Tabung Haji membawa nenek semalam memasuki khemah kami.  Sebaik sahaja melintasi tempat yang aku duduki, nenek itu terus sahaja ternampak kain tuala penanda dia.  Tempat nenek itu, rupanya dekat sahaja dengan tempat aku.  Kasihan nenek tu, dia dah masuk ke khemah yang betul tetapi terpaksa pula bermalam di khemah urus setia.  Maafkan aku nenek sekiranya pertolongan yang aku hulur menyusahkan nenek. Yang hairannya, saudara mara yang datang bersama nenek tu, tak cari dia ke?

Masa Wuuquf - pada 9 Zulhijjah adalah setelah gelincir matahari atau masuk sahaja waktu zohor sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah.

Wuquf hendaklah kerana Allah dengan memperbanyakkan sembahyang, membaca Al Quran, berzikir, bertahlil, bertasbih dan berdoa.

Kami berada di Padang Arafah sehingga tengah malam - sekitar jam 2 atau 3 pagi kami menaiki bas menuju ke Muzdalifah.

No comments:

Post a Comment