Wednesday, November 24, 2010

sakit

Dear Sakinah,
Hari ini Rabu 24 November 2010 (17 Zulhijjah 1431). Jam 1.05 T.hari.
Semalam, selepas solat Maghrib aku ke Klinik Suhaila di Pasir Tumboh.  Beberapa hari ini, aku rasa tidak sihat; kepala berdenyut dan muka pula sembab serta terasa berat di belakang tengkuk.  Sememangnya dua tiga hari ni aku stress sedikit.  Dari hari Ahad, Isnin dan Selasa, tiap-tiap hari kena pergi ke sekolah untuk siapkan tempat duduk calon peperiksaan. Asyik ada yang salah, tu yang buat aku stress.
Di Klinik Suhaila, jam 8.30 malam, dua kali check BP bacaannya 180/120.  Sebelum tu di rumah bacaan BP aku 170/107. Dr. Suhaila kata, bacaannya tinggi, kena dapat rawatan di hospital, takut kena stroke.  Aku mula berdebar bila dengan perkataan stroke tu.  Selepas berbincang denga Pok Bah, aku putuskan untuk dapatkan rawatan di Hospital Pakar Perdana(HPP), dalam fikiran kami kalau di Hospital Besar (HRPZ 2) tentu orang ramai dan terpaksa menunggu lama.  Malangnya wad di HPP penuh, menurut kakitangan yang bertugas di situ KBMC juga penuh, jadi aku tiada pilihan lagi kecuali ke HRPZ 2. (HUSM adalah pilihan keempat). Seterusnya, aku ambil keputusan untuk balik ke rumah dahulu untuk Solat Isyak dan tinggalkan Alyn di rumah Yeyie (adik Pok Bah, Nenek dan Tok Alyn tinggal bersama Yeyie).  Lebih kurang pukul 10.00 malam, aku dan Pok Bah ke HRPZ 2. Dalam masa lebih kurang lima minit sahaja selepas mendaftar, nama aku dipanggil.  Ckeck BP sekali lagi bacaan yang hampir sama, 179/110, pulse tinggi kerana sememangnya aku sangat berdebar.
Sakinah,
Selepas itu aku dibawa ke sebuah katil di zon kuning.  Seorang doktor muda, Dr. Arifuddin Ishak datang dan buat sedikit soal siasat. Aku beritahu nya yang aku tidak pernah mendapat rawatan di hospital ini, terlupa sama sekali bahawa aku pernah mendapt rawatan sebagai pesakit luar pada tahun 1998 dahulu.  Selepas menelan tiga biji pil, bacaan BP 150/100. Telan lagi 1 biji pil, bacaan BP 121/80.  Alhamdulillah. Jam 12.30 pagi, pergi ambil ubat di farmasi dan balik.
Pagi ini kepala sakit berdenyut-denyut.  Sabarlah hati, inilah kafarah bagi dosa-dosa aku yang lalu. Sekarang aku rasa ok sedikit.
Sakinah, dua tiga hari ini aku tidak dapat membuat entry ke dalam blog sebab rasa tak sihat sangat.  Hari Raya Aidil Adha telah seminggu berlalu, namun isu tentang tarikh hari raya yang berbeza dengan Arab Saudi masih dibicarakan. Hari ini dalam Berita Harian, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyatakan keputusan kerajaan menetapkan tarikh Aidil Adha pada 17 November lalu adalah berdasarkan rukyah dan hisab seperti penetapan 1 Ramadhan.  Katanya penetapan dan perisytiharan tarikh Aidil Adha oleh kerajaan Arab Saudi tidak semestnya diguna pakai di Malaysia kerana terdapat perbezaan waktu matlak(tempat terbit dan terbenam matahari) dan kriteria penetapan awal hijrah antara kedua-dua negara.  Justeru, kata beliau, umat Islam di Malaysia hendklah menerima pakai perisytiharan Mohor Besar Majlis Raja-raja Melayu yang 17 November adalah tarikh Aidil Adha. Penjelasan ini aku terima, kerana aku dah faham (sikit2), melalui penjelasan yang diberi oleh Ustaz Saibon di Masjid Langgar, beberapa hari sebelum hari raya.  Hari Sabtu selepas raya, sekali lagi Ustaz Saibon memberi penjelasan tentang isu puasa sunat 9 Zulhijjah.

No comments:

Post a Comment